Tahun 2020 - 2022: Norma baharu, perkara baharu dan pengalaman baharu.

 Assalamualaikum semua, lama sangat kita tak bersiaran kan? Sebabnya saja la kita nak bagitau uols semua, kita sekarang semakin aktif di YouTube. Sejak sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama lagi, kita dah mulakan account YouTube khas untuk pengajaran samada teknik penggunaan iPad mahupun untuk subjek Kimia Tingkatan 4 dan 5.

Memang sangat mencabar lah rasanya kan taun 2020 ni. Tahun 2020 akan menjadi satu tahun yang penuh dengan kenangan terindah lah kita nak sebut. Sebab kita janganlah anggap tahun 2020 ini sebagai kenangan pahit kerana ia akan meninggalkan kesan negatif dalam diri kita. So, pada 2020 inilah kita diperkenalkan dengan wabak terbaru yang dipanggil Coronavirus atau Covid-19. Sebenarnya end of 2019 kan? Sebab tu ianya dinamakan Covid-19. Merebaknya ia dengan sangat pantas sehinggakan pada mulanya ia berada di Wuhan, China dan terus melebar ke banyak negara lagi. Dan akhirnya kita kat Malaysia pun mendapat tempiasnya. Alangkah besarnya kuasa Allah. Virus yang amat kecil, tetapi sebarannya amat besar sehingga kejadian ini diisytiharkan sebagai pandemik.

Anak-anak tidak lagi dapat bermain diluar rumah, apatah lagi untuk ke sekolah. Ibu bapa juga tidak boleh ke tempat kerja kecuali agensi-agensi yang memerlukan seperti kesihatan, keselamatan, perbankan dan beberapa sektor servis lain. Para doktor dan jururawat menggadai nyawa untuk menyelamatkan pesakit yang terjangkit. Polis dan askar menjaga keselamatan negara dengan memastikan tiada masyarakat yang keluar merayau-rayau sesuka hati. Setiap hari akan kedengaran suara polis di pembesar suara mengingatkan agar semua DUDUK DI RUMAH. Dan saya, buat pertama kalinya terpaksa menjalankan kelas atas talian, di mana sebelum ini tidak pernah terlintas langsung yang kita akan mengajar pelajar yang berumur 16-17 tahun ini secara maya. Sebelum ini saya hanya melihat Pengajian Jarak Jauh (PJJ) di universiti-universiti sahaja yang mengamalkan kaedah ini. Tetapi...2020 telah membuka mata dan minda saya bahawa, bukan pelajar universiti sahaja yang didedahkan dengan PJJ ini. Pelajar saya, Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 juga sama. In fact, murid-murid di sekolah rendah juga. Betapa hebatnya hikmah yang Allah nak bagi, di sebalik kesedihan kita dengan penangan pandemic Covid-19 ini, ada perkara baru yang kita pelajari. Ada norma baharu yang kita perlu patuhi. Allahu akbar. Tetapi, dengan keadaan Covid-19 yang amat berleluasa ini, banyak aktiviti harian yang tidak dapat kita penuhi, seperti berjemaah di surau atau masjid. Sedih juga bila surau di taman perumahan saya ini sunyi aje. Tapi, Allah gantikan dengan mengingatkan kita untuk berjemaah sesama seisi keluarga di rumah. Jadi, jika dulu kita jarang berjemaah bersama keluarga, maka inilah masanya. Jika dulu, kita jarang mengaji bersama, maka inilah masanya. Alhamdulillah, beberapa kali juga suami dan anak sulung saya menjadi imam solat. 

Selama hari ini, saya kerap menonton katun kerana melayankan kerenah anak-anak, tapi sepanjang PKP, hari-hari saya menonton sidang media yang disampaikan oleh Perdana Menteri kita iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin. Ternanti-nanti apakah perutusan beliau. Saban waktu juga menantikan Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham melaporkan perkembangan terkini tentang Covid-19 di Malaysia. Dan setiap kali mendengar setiap perkhabaran itu, pasti air mata saya tumpah. Mengenangkan keluarga saya di Selangor dan keluarga mentua di Penang, bila dapat berjumpa semula..itu semua menjadi persoalan yang tiada jawapannya. Kemunculan Menteri Agama juga amat saya nanti-nantikan iaitu Dr. Zulkifli kerana dengan mendengar nasihat dan doa-doa beliau, amat tenang rasa di dalam hati, walaupun sering bergelora dan takut memikirkan hal pandemic ini. Jadi, kerana itu saya tidak mahu menganggap 2020 ini sebagai tahun yang penuh kenangan pahit. Kerana setiap yang pahit itu, diganti dengan keindahan yang Allah telah janjikan.

Sebagai seorang guru pula, disebalik kata-kata cacian dari orang sekeliling yang mengatakan guru makan gaji buta, goyang kaki tidak ke sekolah.... ye, betul. Memang kami tidak ke sekolah kerana anak-anak murid kami tiada di sekolah. Ye, betul, memang kami tidak ke sekolah kerana anak-anak kami juga tidak dibenarkan ke sekolah. Kami mungkin bukan frontliners seperti doktor, jururawat, polis dan askar yang menjaga para pesakit dan masyarakat dalam negara kita...tetapi kami adalah frontliners kepada anak-anak anda, pelajar kami. Dek kerana pandemic ini, maka kami berpusu-pusu memikirkan cara dan kaedah bagaimana untuk melaksanakan PJJ itu. Bagaimana nak buat kelas online yang buat pertama kalinya diperkenalkan kepada kami? Jadi, selain daripada kami memberi ilmu kepada pelajar-pelajar kami, kami juga mencari ilmu...semata-mata untuk meneruskan sesi pembelajaran dengan anak murid masing-masing. Pada ketika inilah kami berkenalan dengan ZOOM dan WEBEX. Bagi pengguna iPad seperti saya, pada waktu inilah saya benar-benar dapat menggunakan iPad saya pada penggunaan yang maximum. Saya juga menghadiri kelas-kelas online untuk mempelajari ilmu yang lebih lagi dalam penghasilan bahan dengan menggunakan iPad saya. Selain itu, saya juga ditawarkan untuk menjadi salah seorang presenter dalam mengajarkan ilmu iPad kepada guru-guru seluruh Malaysia yang sudi bersama-sama menyertai sesi webinar. Sesi perkongsian yang berlangsung selama 2 bulan secara online itu telah dapat membantu ramai rakan-rakan guru dan diri saya juga dalam penghasilan bahan pengajaran secara online. 

Sekarang telah masuk tahun 2022. Pucuk pimpinan pun telah bertukar walaupun di dalam suasana yang hiruk pikuk Covid-19. Dari pandemic telah bertukar ke endemic. Saya juga telah berjaya pulang ke kampung berjumpa kaum keluarga yang telah 2 tahun tak dapat bertemu. Namun, segala ilmu dan bahan pengajaran saya, masih saya teruskan. Segala doa tetap saya panjatkan agar Malaysia dan seluruh dunia akan terselamat dari wabak ini. 

Berikut adalah antara sesi-sesi saya sebagai presenter sepanjang PKP. Saya sendiri pon tak sangka saya mampu melakukan ini semua..hihihi..




OK uols...till we meet again.

Love,

JULIA

Comments

Popular posts from this blog

Buat tatapan ibubapa yg nak hantar anak ke sekolah cina

Catatan sebagai guru Ipad..... Saat pertama kali mengenal I-pad!

Ini bumi yang kupijak...lagu Wawasan MRSM Taiping yang masih menyengat!!!